Thursday, 27 December 2012

Gaya Hidup Sihat

GAYA HIDUP SIHAT merupakan suatu amalan kehidupan yang membina dimana ia dapat membawa kesan yang positif kepada seseorang individu , institusi keluarga dan juga masyarakat. Gaya hidup sihat merupakan salah satu aspek yang penting dalam menjaga tahap kesihatan seseorang. Antara contoh amalan gaya hidup sihat ialah seperti makanan yang seimbang, aktiviti senaman, tidur atau rehat yang mencukupi, cara pergaulan dengan manusia di sekeliling, kebersihan dari segi mental, fizikal dan persekitaraan dan banyak lagi. Kesemua amalan gaya hidup yang positif ini membawa kepada banyak manfaat dan kebahagian kepada kehidupan kita. Kepentingan Gaya Hidup Sihat. a) Memastikan tahap kesihatan yang baik Kebaikan utama gaya hidup yang sihat ialah amalan yang membina ini sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contohnya, gaya hidup sihat selalu memberi faedah kepada kecergasan fizikal. Misalnya , dengan melakukan aktiviti senaman secara kerap , kehidupan seseorang itu menjadi lebih sihat dan menceriakan. Senaman seperti bersukan, berekreasi, bersenam robik, berjalan dan berlari memastikan tubuh kita menjadi cergas dan sistem peredaran darah menjadi lebih teratur. Pada masa yang sama, sistem imunisasi manusia menjadi lebih cekap dan seterusnya stamina dan kekuatan dapat dibina. Selain daripada itu, amalan gaya hidup yang sihat juga menggurangkan risiko menghadapi penyakit berbahaya. Sebagai contohnya, apabila kita sering melakukan senaman ataupun mengambil makanan dengan kadar nutrisi yang betul, maka kita dapat mengelakkan diri daripada pendedahan kepada penyakit berbahaya. Misalnya, penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung sering mencari mangsa yang kurang mengamalkan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan makan makanan yang berkolestrol. b) Menstabilkan kesihatan mental dan mengurangkan tekanan Seterusnya, gaya hidup sihat juga menjamin kestabilan kesihatan mental serta sentiasa mengawal ataupun mengurangkan tekanan. Sebagai contohnya, amalan berehat dan tidur dengan kadar yang mencukupi dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh badan serta minda. Dengan bersikap lebih prihatin terhadap masa rehat dan masa tidur proses metabolism juga dapat dijalankan dengan lancer. Berikutan dengan itu, gaya hidup sihat yang lain seperti pemikiran positif mampu memberi jalan penyelesaian bagi kemelut–kemelut yang serius tanpa mengadapi tekanan yang berlebihan. Ini adalah kerana tekanan yang kita hadapi kadang kala boleh menjuruskan kepada masalah mental ataupun masalah sosial seperti pembuangan bayi, vandalisme dan sebagainya. c) Mendisiplinkan masyarakat Pada masa yang sama, gaya hidup yang sihat juga melahirkan insan yang disiplin dan sihat dari segi fizikal dan persekitaraannya. Misalnya, seseorang yang mengamalkan gaya yang positif akan sentiasa menjaga kebersihan diri sendiri dan juga persekitaraanya. Dengan mengutamakan kebersihan , maka kita dapat menghalang wabak-wabak penyakit dari terus tersebar. Di samping itu, kita juga dapat hidup dalam suasana yang sihat dan harmoni. Amalan seperti menjaga kebersihan diri serta persekitaraan melalui mandi, berpakaian bersih, gotong-royong dan membuang sampah-sarap dalam tong sampah akan membentuk disiplin dan peribadi seseorang. Kepentingan Gaya Hidup Sihat Yang Lain.. a)Rakyat yang mengamalkan gaya hidup sihat dapat melahirkan sebuah negara yang maju. b)Mewujudkan keluarga yang dapat memenuhi fungsi-fungsi dari segi biologi, sosial, dan psikologi secara optimum. c) Mengekalkan jaringan hubungan antara masyarakat. d) Mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja. Langkah- Langkah Ke Arah Gaya Hidup Sihat a) Makan Makanan Yang Seimbang Dan Berkhasiat b) Menjalinkan hubungan baik dengan keluarga, jiran dan rakan-rakan c) Mengambil rehat yang mencukupi d) Melakukan aktiviti fizikal e) Menjaga kebersihan Kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat amat penting kepada semua lapisan masyarakat untuk menikmati tahap kesihatan yang baik serta optimum. Oleh itu, kita harus mempunyai kesedaran untuk menggiatkan lagi mutu penjagaan kesihatan.

Monday, 3 December 2012

5 makanan diet yang tidak sihat





Mungkin sebelum ini anda sudah merasakan bahawa telah mengamalkan diet yang sihat tetapi hasilnya masih tidak seperti yang diharapkan.  Masalah ini kemungkinan berpunca daripada makanan diet yang anda pilih. Ada sesetengah makanan diet yang sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan terhadap sistem tubuh anda malah ia mungkin hanya akan memberi lebih kemudaratan sahaja. Antaranya adalah..
 
Diet Soda- Walaupun diet soda mempunyai jumlah gula dan kalori yang kurang berbanding minuman soda yang lain, ia sepatutnya membantu anda untuk mengurangkan berat badan. Tetapi hasil kajian terkini yang dilakukan, diet soda sebenarnya tidak membantu anda mengurangkan berat badan malah ia sebenarnya akan menyebabkan peningkatan terhadap berat anda.

 
Pemanis tiruan- Tidak kira samaada makanan atau minuman diet yang berada dipasaran, selagi ia masih menggunakan pemanis atau gula tiruan terhadap kandungan bahannya, ia tidak akan membantu diet anda. Ini kerana pemanis atau gula tiruan akan membuatkan anda berasa lebih cepat lapar berbanding gula yang asli.

 
Diet makanan yang diproses/makanan ringan- Ramai yang menyangkakan bahawa makanan diet yang beku daripada peti sejuk seolah-olah seperti pilihan yang baik ketika cuba untuk menurunkan berat badan, tetapi kebiasaannya makanan ini mengandungi kandungan natrium dan gula yang tinggi. Periksa label pemakanan pada makanan yang anda beli. Lihat senarai bahan yang digunakan dalam makanan keseluruhannya, dan bukannya bahan-bahan yang anda tidak tahu.

 
Yogurt berperisa- Yogurt sememangnya pilihan makanan diet yang terbaik sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan kerana kaya dengan kandungan protein dan kalsium. Tetapi perkara sebaliknya akan berlaku sekiranya anda memilih yogurt yang berperisa kerana ia mangandungi kandungan gula yang agak tinggi.

 
Cip kentang- Makanan ini juga biasanya menjadi pilihan utama terhadap sesiapa yang mengamalkan diet. Tetapi, kentang yang dibakar biasanya mengandungi kandungan sodium dan gula yang tinggi dan kandungan kalori nya pula akan berkurangan.

6 tips ringkas untuk melakukan senaman



Berasa seronok terhadap apa yang anda lakukan- Konsep senaman adalah untuk menggerakkan otot-otot tubuh anda daripada tidak melakukan apa-apa. Tidak semestinya anda perlu menghabiskan masa berjam-jam di gym untuk melakukan senaman. Ianya adalah terpulang kepada keselesaan dan masa yang bersesuaian dengan anda. Sekiranya anda lebih selesa untuk berjalan-jalan di kawasan taman dan merasakan ianya dapat membuatkan anda gembira, teruskan usaha tersebut.

Jadualkan senaman anda- Untuk anda melihat hasil daripada senaman yang telah dilakukan, ia perlu mengambil masa. Selain daripada itu, konsistensi amatlah penting untuk mendapatkan hasil yang anda idamkan. Sekiranya anda bersenam hanya mengikut apabila anda merasakan ingin bersenam, ianya pasti tidak akan berhasil kerana untuk melihat hasil daripada senaman perlukan usaha yang konsisten dan berterusan. Walaupun anda telah mendapatkan objektif sebenar anda melakukan senaman, ianya perlu diteruskan untuk anda memelihara berat, susuk tubuh, tenaga dan sebagainya. Jika tidak, pasti apa yang anda telah usahakan akan kembali kepada keadaan asal.

Kepelbagaian- Adalah normal kepada seseorang untuk berasa bosan sekiranya melakukan sesuatu berulang-ulang kali. Anda tidak perlu takut untuk mempelbagaikan jenis senaman yang anda rasa seronok untuk melakukannya. Mungkin sebelum ini anda bersenam dengan berjalan dan apabila anda sudah berasa bosan, mungkin anda boleh mempelbagaikannya dengan mengayuh basikal atau sebagainya.

Mulakan senaman dengan pemanasan badan- Pasti ramai yang tidak merasakan pentingnya untuk anda memanaskan badan sebelum melakukan senaman. Otot-otot anda perlu diregangkan terlebih dahulu sebelum ianya ditugaskan untuk melakukan sesuatu yang lebih berat. Ini adalah untuk mencegah daripada kerosakan rangkaian otot dan membantu darah untuk mengalir dengan baik ke seluruh bahagian tubuh. Sekiranya darah tidak dapat dialirkan dengan baik, berkemungkinan anda akan pengsan, sesak nafas atau sebagainya. 5 minit sudah memadai untuk anda memanaskan badan.

Lakukan senaman dengan cara bersukan- Bersukan adalah cara yang paling menyeronokkan untuk anda melakukan senaman kerana ia dapat mengelakkan anda daripada berasa bosan keseorangan. Dengan bersukan, anda boleh menghabiskan masa bersama rakan-rakan. Sebagai contoh, bersukan seperti bermain bola sepak adalah waktu terbaik untuk anda mengeratkan silaturrahim disamping dapat membantu untuk menyihatkan tubuh badan.

Bersukan dapat memberikan anda lebihan tenaga- Tidak dinafikan sekiranya anda baru sahaja bermula untuk melakukan senaman, pasti tubuh anda akan berasa lebih penat berbanding sebelumnya. Ini adalah kerana perubahan terhadap rutin yang biasa dilakukan oleh otot. Tetapi, sekiranya ianya dilakukan secara berterusan, pasti anda dapat melihat hasilnya bahawa ia akan memberikan lebihan tenaga kepada anda. Anda akan lebih semangat untuk melakukan aktiviti harian anda yang lain dan ianya bukannya untuk lebih memenatkan anda.

5 kesalahan senaman yang sering dilakukan



Bersenam dengan perut kosong- Apabila anda bersenam dengan perut kosong, ianya agak mustahil untuk tubuh anda membakar lemak dengan baik. Ini adalah kerana karbohidrat diperlukan ketika proses pembakaran lemak. Sekiranya ia tidak didapati, otot anda akan bekerja sendiri ketika proses tersebut, dan akan menyebabkan kerosakan pada otot  dan bukan untuk membinanya.

Tidak melakukan pemanasan badan- Ramai yang tidak memberi sepenuh perhatian terhadap perkara ini. Sedangkan pemanasan badan adalah perkara yang amat penting untuk mengelakkan kecederaan terhadap otot-otot anda. Peruntukkan sekurang-kurangnya 5 minit untuk memanaskan badan sebelum anda melakukan apa-apa senaman.

Tidak dilakukan secara konsisten- Untuk mendapatkan sesuatu hasil daripada senaman yang dilakukan, ia perlu dilakukan dengan konsisten. Ramai yang menganggap senaman boleh dilakukan apabila dirasakan perlu sahaja, sedangkan ia memerlukan penjadualan yang khas untuk anda melakukannya.

Tidak menjaga pemakanan- Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa apabila anda sudah melakukan senaman, anda bebas untuk memakan apa sahaja. Ia sememangnya tidak benar. Penjagaan pemakanan adalah penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh anda.

Tidak dilakukan secara berperingkat- Senaman adalah merupakan suatu proses. Anda tidak boleh secara tiba-tiba mengerah otot anda daripada melakukan suatu yang diluar kemampuan. Lakukannya secara berperingkat dan cuba untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa.